ARTIKEL

Projek pembinaan Jalan Passin-Matu kini diteruskan dan dijangka siap Disember 2026.

Projek pembinaan Jalan Passin-Matu dijangka siap Disember 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Projek pembinaan Jalan Passin dengan Matu kini diteruskan dan dijangka siap pada Disember 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, projek tersebut tertangguh sebelum ini dan kini ia berjalan lancar mengikut perancangan.

“Laluan sepanjang 19.3 kilometer dengan kos sebanyak RM77.88 juta telah mencapai 22.45 peratus kemajuan pelaksanaannya.

Safiee turut memberitahu bahawa pihaknya mengambil sepenuh perhatian untuk memastikan projek ini dapat diteruskan.

Disebabkan kegagalan pada peringkat awal, kos projek telah meningkat daripada kos asal iaitu sebanyak RM65 juta dan selepas mengambil kira kenaikan kos bahan binaan dan sebagainya, peruntukan sebanyak RM98 juta diperlukan bagi menyiapkan projek ini.

“Terima kasih Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa memberi perhatian khususnya dalam memastikan kawasan luar bandar tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

“Beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sekali gus membolehkan projek ini diteruskan semula,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Safiee turut memberitahu bahawa projek tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan memperbaiki akses pengangkutan, memendekkan jarak perjalanan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar termasuk tujuh buah rumah panjang di kawasan Passin , sebuah sekolah dan sebuah klinik kesihatan desa.

Ujarnya, projek ini tentu memberi impak yang baik dan diperlukan penduduk kawasan ini kerana ia merupakan penempatan paling jauh masyarakat Iban di daerah Matu di bawah pentadbiran Daro yang mempunyai kira-kira 2,000 orang penduduk.

Di samping itu, beliau turut berkongsi bahawa Kerajaan Sarawak melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk melaksanakan kerja pemasangan elektrik di kawasan berkenaan meliputi tujuh buah rumah panjang dan dewan serbaguna yang kini telah mencapai 74.22 peratus kemajuan projek.

“Apabila jalan ini siap, beberapa projek lain yang telah kita rancang termasuklah projek bekalan air yang mana Pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sudah memasukkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyalurkan bekalan air dari Loji Rawatan Air Jemoreng terus ke kawasan ini.

“Projek ini juga telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang telah dikemukakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya, Passin bukanlah kawasan terpencil kerana selain bakal dihubungkan dengan jalan raya, penduduknya juga sudah menikmati kemudahan jalur lebar berbanding sebelum ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU