BINTULU: Stesen Pam Penggalak Maskat yang sedang dalam pembinaan sekali lagi telah dipecah masuk dan dimusnahkan pada Rabu lalu.
Menurut Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kecurian itu merupakan kes keempat yang direkodkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bintulu dan menjejaskan kemajuan pembinaan projek tersebut.
“Timbalan Menterinya Datuk Abdul Rahman Junaidi semasa lawatan kerja rasmi beliau ke projek bekalan air di Bahagian Bintulu sempat meluangkan masa melihat sendiri keadaan dan kesan kecurian serta vandalisme di tapak bina projek tersebut.

“Kejadian ini telah mengakibatkan kerugian besar kepada JBALB Bintulu, yang dianggarkan sekitar RM293,000 bagi kerja-kerja baik pulih dan penggantian peralatan yang musnah serta hilang akibat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, aset JBALB yang disediakan bertujuan memudahkan pengguna menikmati sistem bekalan air yang baik dan konsisten, namun disebabkan kejadian tidak bertanggungjawab, ia menyebabkan kesusahan dan kesengsaraan kepada pengguna lain.
“Tiga laporan polis telah dibuat oleh pihak JBALB terkait insiden-insiden vandalisme dan kecurian sebelum ini,” ujarnya.
Tegasnya lagi, pihak kementerian terbabit memandang serius isu kecurian atau vandalisme aset milik JBALB sambil menambah tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dan akan dibawa ke muka pengadilan.
Sekiranya didapati bersalah, individu atau pihak terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sehingga RM3,000 atau dengan kedua-duanya.
Kerjasama daripada semua pihak adalah dipohon untuk menghubungi JBALB di talian 082-262211 atau PDRM sekiranya melihat atau menyaksikan sebarang aktiviti yang meragukan di loji rawatan air, stesen pam penggalak atau mana-mana aset milik JBALB.
