BINTULU: Projek perumahan di Lot 6256 dan Lot 6258, Blok 32, Kemena Land District di sini yang terbengkalai hampir tujuh tahun, menunjukkan perkembangan positif apabila sebahagian unit berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata projek yang dibangunkan oleh Tiara Seni Sdn Bhd itu sepatutnya siap pada Disember 2017.
“Melihat situasi ini, kementerian melalui Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) mengambil langkah bersama agensi teknikal lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis penyerahan dokumen Permit Menduduki (OP) kepada sebahagian pembeli, yang turut dihadiri ADUN Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan bermesyuarat pada 17 Oktober 2024 dengan pembabitan pembeli untuk mencari resolusi masalah yang menghalang pihak pemaju menyiapkan projek berkenaan.
“Hasil usaha jawatankuasa ini, OP pertama dikeluarkan pada 14 Julai lalu melibatkan 36 unit rumah, manakala kumpulan kedua bagi 46 unit rumah teres dikeluarkan pada 6 Ogos lalu.
Jelasnya, kejayaan itu membuktikan keberkesanan JKTP dalam menyelamatkan projek sakit, sekali gus melindungi kepentingan pembeli rumah.
Beliau turut mendedahkan terdapat beberapa lagi projek sakit di Bintulu yang sedang ditangani pihaknya.
“Kami melihat perkembangan positif dan beberapa pengumuman akan dibuat kepada media kelak. Ini memberi harapan bahawa semakin banyak projek sakit di Sarawak akan dapat diselamatkan melalui jawatankuasa teknikal di bawah kementerian ini,”tambahnya.
Dalam pada itu, Michael Tiang turut merakamkan penghargaan kepada pembeli atas kesabaran mereka serta kepada agensi teknikal seperti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Tanah dan Survei dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak yang membantu dalam penyelesaian isu projek terbabit.

