KUCHING: Projek pembinaan Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila sesi penutup dan pemeteraian persetujuan Makmal Kajian Nilai (VA) berjaya dilaksanakan menerusi Majlis Penutup dan Sesi Sign-Off Makmal VA, baru-baru ini.
Majlis tersebut menandakan berakhirnya pelaksanaan Makmal VA yang bertujuan menilai, memperincikan serta mengoptimumkan cadangan pembangunan projek bagi memastikan projek memenuhi keperluan operasi, keberkesanan kos dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan.

Pelaksanaan makmal tersebut turut menjadi platform untuk mengenal pasti keperluan sebenar projek, selain memastikan setiap komponen pembangunan dirancang secara menyeluruh sebelum pelaksanaan dimulakan.
Program itu menghimpunkan pelbagai pakar teknikal termasuk bidang seni bina, kejuruteraan awam dan struktur, ukur bahan serta mekanikal dan elektrikal bagi meningkatkan ketepatan andaian yang digunakan sepanjang proses perancangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, tayangan montaj dan ucapan alu-aluan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Muhammad Harzi Shah Pahruddin.
Program diteruskan dengan pembentangan hasil Makmal Kajian Nilai oleh Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Muhammad Farid Azimi.
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai, Kementerian Ekonomi, Muhammad Taufiq Azmi turut membentangkan pencapaian keseluruhan makmal sepanjang pelaksanaannya.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kewangan dan Pembangunan RELA, Krishnasamy Raman yang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan makmal berkenaan.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Ekonomi, Mohd Zahrain Mohd Nor serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai, Kementerian Ekonomi, Muhd Sharul Nizam Abdul Hamid yang bertindak sebagai ketua fasilitator.
Sesi pemeteraian persetujuan yang diadakan selepas pembentangan melambangkan persetujuan bersama terhadap dapatan dan syor yang dipersetujui sepanjang pelaksanaan makmal tersebut.
Langkah itu penting bagi memastikan projek pembinaan Pusat Latihan RELA Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, efisien dan berimpak tinggi.
Majlis berkenaan turut dihadiri pengarah-pengarah bahagian Ibu Pejabat RELA Malaysia, Timbalan Pengarah RELA Negeri Sarawak, pegawai dan kakitangan RELA Sarawak serta wakil KDN yang terlibat sebagai ahli mesyuarat dan urus setia.
Penganjuran makmal tersebut turut mencerminkan kerjasama erat antara KDN, Kementerian Ekonomi, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RELA dalam merealisasikan pembangunan sebuah pusat latihan moden di Sarawak.
Kerjasama strategik itu diharapkan dapat memastikan kemudahan yang bakal dibangunkan mampu memenuhi keperluan latihan anggota RELA pada masa hadapan.
Terdahulu, makmal berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Julai selepas lawatan tapak projek di Sematan pada 6 Julai lalu.


