SIMUNJAN: Masalah bekalan air yang membelenggu penduduk Simunjan bakal ditangani secara berperingkat menerusi projek penggantian dan menaik taraf paip lama sepanjang 73.2 kilometer (km) dengan kos RM45.7 juta.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek berskala besar itu dijadualkan bermula pada akhir 2026 atau awal 2027 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
Menurutnya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM84.37 juta bagi menaik taraf sistem agihan air di kawasan Samarahan yang melibatkan jajaran sepanjang 148.3 km.

“Kita memahami masyarakat melihat tempoh pelaksanaan ini agak lama.
Justeru, kerajaan turut mengambil langkah jangka pendek menerusi pembinaan tangki aras tinggi di Kampung Hijrah yang dijangka siap pada Ogos 2027 bagi membantu kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1448H/2026M di Dewan Mesra Simunjan, di sini, semalam.
Rodiyah berkata, pelaksanaan kedua-dua pendekatan itu diharap dapat menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh ke atas isu bekalan air di Simunjan secara berperingkat, selaras dengan keperluan pembangunan serta pertambahan penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, penggantian paip lama merupakan antara langkah penting bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air, sekali gus membantu memastikan bekalan yang lebih stabil kepada penduduk.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat setempat memberikan kerjasama kepada pihak kontraktor sepanjang tempoh pelaksanaan projek, khususnya dengan tidak menghalang laluan atau memasuki kawasan kerja yang dikenal pasti.
Dalam pada itu, Rodiyah berkata, kehadiran pemimpin dan masyarakat bukan Islam pada sambutan Maulidur Rasul berkenaan turut mencerminkan semangat perpaduan serta sikap saling menghormati yang menjadi kekuatan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Menurutnya, perbezaan agama dan kaum tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk duduk bersama-sama, berkongsi aspirasi serta menyokong agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada semua.
Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan membabitkan penyertaan jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, masjid, surau, kampung, kelab serta pertubuhan setempat.
Sebanyak 22 kontinjen menyertai pertandingan perarakan, manakala 15 kumpulan mengambil bahagian dalam pertandingan sepanduk.


