PUSA: Usaha memulihkan koridor sungai di Pusa diperkasakan melalui Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Sungai Rimbas bagi mengurangkan risiko banjir dan mengindahkan landskap kawasan sekitar.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, projek berkenaan terus diberi tumpuan memandangkan ia mampu memberi impak langsung terhadap kesejahteraan serta keselamatan penduduk setempat secara lestari.
“Melalui perbincangan susulan ini, kita meneliti perancangan dan pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk setempat.
“Selain tumpuan kepada usaha pemulihan sebagai langkah mengurangkan risiko banjir, mengindahkan landskap kawasan serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan lestari untuk kegunaan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan sesi perbincangan susulan Projek RMKS Sungai Rimbas di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batang Lupar, semalam.
Mohamad Shafizan menjelaskan Projek RMKS Sungai Rimbas bukan sahaja memberi manfaat jangka panjang dalam aspek pengurusan bencana, malah menyumbang kepada pembangunan mampan dan peningkatan kualiti hidup masyarakat di Pusa dan kawasan sekitarnya.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam merancang pembangunan yang seimbang dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Sehubungan itu, ia memerlukan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Pusa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Sarawak serta agensi lain agar projek ini dapat direalisasikan dengan berkesan dan memberi manfaat jangka panjang,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang dan wakil Pusat Khidmat DUN Beting Maro, Awang Sarbini Gapor.



