ARTIKEL

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, semalam | Foto: Ramidi Subari

Projek VPS Sarawak belum beroperasi, tunggu bekalan LNG Petronas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek Sistem Saluran Paip Virtual Sarawak (VPS) masih belum dapat memulakan operasi kerana pihak Petronas masih belum memuktamadkan pembekalan gas asli cecair (LNG) yang diperlukan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Menurutnya, projek itu merupakan kaedah alternatif pengedaran gas asli tanpa memerlukan pembinaan paip gas fizikal, yang menggunakan trak khas dilengkapi tangki kriogenik untuk penghantaran LNG dari Bintulu ke bandar-bandar utama di Sarawak.

Beliau berkata, kemudahan regasifikasi dan penyimpanan LNG bagi projek perintis VPS berkenaan telah siap dibina di premis pelanggan pertama di Sarawak dengan bekalan LNG akan dibekalkan oleh Petronas dari Bintulu.

“Sehubungan itu, kementerian saya menggesa agar perkara ini dapat diselesaikan oleh pihak terbabit dengan segera supaya pelaburan yang telah dibuat dapat dimanfaatkan demi kepentingan industri serta komuniti di Kuching khasnya dan seluruh Sarawak amnya,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Julaihi yang juga ADUN Sebuyau menambah, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) untuk meningkatkan penggunaan gas domestik sedia ada daripada 7.1 peratus kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2030.

Peningkatan penggunaan gas asli domestik sebanyak 1.1 peratus, iaitu daripada 6 peratus kepada 7.1 peratus sebelum ini adalah berikutan pengoperasian penuh loji Sarawak PETCHEM di Bintulu.

Sementara itu, Julaihi berkata, kementeriannya melalui Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) giat menjalankan usaha berterusan bagi meningkatkan penggunaan gas asli di Sarawak selaras dengan SGR.

ia merangkumi empat hab strategik iaitu di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching melalui beberapa inisiatif, – antaranya Projek 500 MW Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri, yang kini mencapai 45 peratus kemajuan fizikal dijangka akan beroperasi secara komersial pada suku keempat tahun 2027.

“Apabila beroperasi nanti, loji ini akan menggunakan gas asli kira-kira 75 sehingga 80 wqMillion Standard Cubic Feet per Day (MMscfd).

“Projek ini turut mengutamakan rakyat tempatan dengan kira-kira 253 pekerja adalah anak jati Sarawak,” katanya.

Selain itu, Julaihi berkata Projek Saluran Paip Gas Kidurong-Samalaju sepanjang
65 kilometer yang akan membekalkan gas asli sebanyak 300 MMscfd kini siap pada tahap 94 peratus dan dijangka akan beroperasi pada penghujung suku kedua tahun ini.

Seterusnya, beliau berkata Projek Perintis Perluasan Bekalan Gas ke Bintulu (GtB) yang
telah mula beroperasi sejak Julai 2025 telah membekalkan gas asli berpaip kepada 59 isi rumah berpendapatan rendah di Sungai Plan dan Taman Saberkas, Bintulu.

“Projek ini akan diperluaskan secara berfasa untuk merangkumi pengguna domestik dan komersial di Bintulu dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada kira-kira 3,600 isi rumah apabila siap sepenuhnya,” katanya.

Julaihi menambah, inisiatif lain ialah gas terus ke dapur oleh PETROS – membolehkan akses gas asli berpaip terus ke kediaman di Quadruplex Taman Ceria, Miri.

Setakat ini, lebih 892 isi rumah (fasa 1 hingga 5) telah disambung dengan gas asli berpaip dan selebihnya akan disambung secara berperingkat dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah apabila siap sepenuhnya.

Manakala, beliau berkata Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) pula akan memperkukuhkan agenda peralihan tenaga Sarawak melalui pembangunan ekosistem perindustrian rendah karbon yang bersepadu.

Inisiatif itu merangkumi peluasan penjanaan kuasa berasaskan gas (LNG kepada tenaga), terminal gas, pelabuhan laut dalam, pembangunan taman perindustrian serta pembangunan kluster industri rendah karbon.

“Ekosistem ini turut disokong oleh pembangunan infrastruktur Penangkapan dan Penyimpanan Karbon bertaraf dunia serta penerokaan potensi sumber gas asli luar pesisir di barat Sarawak.

“Pada masa ini, pelaksanaan KLCH tertumpu kepada memuktamadkan perjanjian pembelian tenaga, dengan LNG kepada tenaga akan menjadi sumber tenaga utama bagi menyokong pertumbuhan sektor pembuatan termaju, industri digital dan industri bernilai tinggi,” katanya.

tamat

BERITA LAIN

BERITA TERBARU