KUCHING: Proses persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak wajar dipercepat demi memastikan sistem pentadbiran dan representasi rakyat benar-benar selari dengan aspirasi pembangunan negeri yang semakin pesat.
ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, Sarawak kini memasuki fasa penting untuk merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) melalui pembangunan ekonomi baharu, transformasi digital, pembangunan luar bandar dan pengukuhan tadbir urus.
“Hakikatnya, banyak kawasan DUN di Sarawak ketika ini terlalu luas dari segi geografi. Ada kawasan yang memerlukan perjalanan berjam-jam melalui jalan darat dan sungai untuk bertemu rakyat.
“Dalam keadaan Sarawak sedang berkembang dengan begitu pesat, struktur representasi politik sedia ada perlu disesuaikan dengan realiti pembangunan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.
Abdul Yakub berkata, beliau percaya penambahan kawasan DUN merupakan antara mekanisme penting untuk mencapai matlamat tersebut.
Katanya, dengan kawasan yang lebih kecil dan lebih fokus, wakil rakyat dapat memberi perkhidmatan lebih efektif, penyampaian pembangunan dapat dipercepat, isu rakyat dapat ditangani dengan segera, dan kawasan pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Sehubungan itu beliau meminta penjelasan berkaitan langkah segera yang sedang diambil bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepat proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan cadangan penambahan kepada 99 kawasan DUN dapat direalisasikan secepat mungkin.


