ARTIKEL

Proton perkenal kenderaan teknologi hibrid pemalam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan pemilik kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), langkah untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) sering diiringi pelbagai keraguan.

Aspek seperti keupayaan bateri, kesediaan fasiliti pengecasan ataupun kos pemilikan jangka panjang kerap menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan menaik taraf kenderaan.

Bagi pengguna yang masih ragu-ragu untuk bertukar sepenuhnya kepada EV, teknologi hibrid pemalam (PHEV) dilihat sebagai penyelesaian paling praktikal kerana teknologi ini menggabungkan pemanduan elektrik yang senyap dengan fleksibiliti enjin bahan api.

Menurut Proton Holdings Bhd (Proton), model Proton e.MAS 7 PHEV direka khusus bagi memudahkan pengguna melangkah ke arah pemanduan EV tanpa perlu mengubah rutin harian secara mendadak.

“Satu daripada keraguan utama pembeli EV ialah kebimbangan jarak pemanduan.

Menerusi teknologi PHEV, pengguna tidak perlu risau kerana enjin petrol sedia ada sentiasa bertindak sebagai sokongan untuk perjalanan jauh,”demikian menurut syarikat itu. Ditawarkan pada harga bermula RM105,800 selepas rebat pelancaran khas RM4,000, model ini memberi ruang kepada pengguna untuk mencuba teknologi baharu pada julat harga yang berpatutan. 

Sebagai sebuah SUV segmen-C, Proton e.MAS 7 PHEV menawarkan ruang kabin yang selesa untuk kegunaan keluarga di samping kadar penggunaan bahan api yang cekap, iaitu sekitar 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer (km), setara dengan kenderaan segmen-A.

Bagi pemanduan harian di dalam bandar, pengguna boleh bergantung sepenuhnya pada mod elektrik yang mampu menjangkau perjalanan hingga 105 km bagi varian Prime dan Premium, manakala varian Premium Plus mencapai hingga 170 km.

“Apabila digabungkan dengan enjin petrol yang memberikan jarak pemanduan melebihi 800 km, jarak pemanduan keseluruhan model ini mampu melebihi 1,000 km, dengan ujian pemanduan sebenar mencapai hingga 1,100 km.

“Selain itu, isian penuh tangki bahan api model ini dianggarkan bawah RM100 menerusi subsidi BUDI95,” menurut Proton. Dari sudut kos pemilikan jangka panjang, penggunaan teknologi PHEV ini secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kos penyelenggaraan berbanding kenderaan ICE biasa.

Dengan selang tempoh servis antara 15,000 hingga 20,000 km atau sekali setahun, Proton menganggarkan kos penyelenggaraan e.MAS 7 PHEV bagi tempoh 10 tahun adalah sekitar RM29,200 sahaja, berbanding kira-kira RM49,800 bagi SUV ICE yang setara.

Bagi menambah keselesaan, model ini turut dilengkapi sistem suspensi belakang pautan erbilang untuk pemanduan yang lebih teratur, selain fungsi ‘Vehicle-to-Load’ (V2L) yang membolehkan bateri kenderaan menyalurkan kuasa elektrik kepada peralatan luaran sewaktu aktiviti luar.

Peralihan pengguna turut dipermudahkan menerusi rangkaian sokongan selepas jualan PRO-NET yang merangkumi 58 pengedar, 45 pusat servis dan 10 pusat badan dan cat di seluruh negara.

“Model ini dilindungi jaminan kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri serta sistem pacuan elektrik mendapat jaminan lapan tahun atau 160,000 km,” katanya, menambah jumlah tempahan kini melepasi 11,000 unit sejak dibuka pada awal tahun. 

Mengulas struktur harga, Proton memaklumkan harga atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia bermula pada RM109,800 bagi varian Prime, RM123,800 (Premium) dan RM129,800 (Premium Plus).

Bagi Sabah dan Sarawak, varian Prime ditawarkan pada harga RM112,800, Premium (RM126,800) dan Premium Plus (RM132,800).

Menerusi rebat pelancaran khas RM4,000 bagi tempoh terhad, harga tawaran bagi Semenanjung Malaysia bermula pada RM105,800 (Prime), RM119,800 (Premium) dan RM125,800 (Premium Plus), manakala di Sabah dan Sarawak pula masing-masing pada harga RM108,800, RM122,800 dan RM128,800.-Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU