KOTA SAMARAHAN: Bukan sekadar kepetahan menyusun kata, tetapi keupayaan membaca isu, membina hujah dan mempertahankan pendirian menjadi penentu apabila Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul juara Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026, malam tadi.
Di pentas akhir, mahasiswa UiTM Sarawak berdepan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dalam perdebatan yang mengangkat persoalan besar keutamaan pelaburan masa depan Pelabuhan Bintulu — sama ada memberi tumpuan kepada bakat muda atau pembangunan infrastruktur.

UiTM Sarawak mewakili pihak pembangkang, manakala Swinburne mewakili pihak kerajaan bagi membahaskan usul berkenaan.
Daripada isu yang kelihatan seperti pertarungan hujah, pertandingan itu sebenarnya menguji lebih daripada kepetahan berbicara apabila mahasiswa perlu menganalisis isu pembangunan, menilai keutamaan dan mempertahankan pandangan dengan fakta serta pemikiran yang tersusun.

Keupayaan itu akhirnya membawa UiTM Sarawak menewaskan Swinburne pada Malam Grand Final yang berlangsung di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 1, di sini.
Kemenangan tersebut membolehkan UiTM Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta Piala Pusingan manakala Swinburne selaku naib juara menerima RM7,000 dan sebuah piala.
Lebih membanggakan, wakil UiTM Sarawak, Ethan Hope Eric turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, gelaran Pendebat Terbaik Keseluruhan menjadi milik Roy Makaay Jeffery dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.
PSDC 2026 dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan tema “Mengasah Minda, Memacu Sarawak” sebagai platform pembangunan belia yang menggalakkan mahasiswa berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan secara berhemah.


