PUSA: Pelan Strategik Melayu Sarawak (PSMS) 2035 menyasarkan 50 peratus keluarga Melayu Sarawak memiliki ijazah, dan 50 peratus lagi memiliki diploma berkualiti.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata hasil pembentangan Seminar Budaya Melayu Sarawak ke-VI 2013, beberapa data empirikal tentang isu dan cabaran dalam pendidikan Melayu Sarawak telah dikemukakan.
Menurutnya, isu utama yang perlu diberikan perhatian adalah usaha mengekalkan kecemerlangan pelajar pada peringkat sekolah rendah, yang mana rata-rata cemerlang, namun mengalami penurunan prestasi pada peringkat sekolah menengah.

“Hal ini melibatkan penurunan motivasi, keyakinan potensi diri dan sahsiah pelajar itu sendiri.
“Sehubungan itu, Kursus Pelajar Melayu Islam Cemerlang (KPMIC) ini dijustifikasikan selaras dengan Pelan Strategik Melayu Sarawak (PSMS) 2035 dalam teras pendidikan untuk mengukuhkan kemahiran insaniah pelajar Melayu Sarawak.
“Ia dalam usaha mencapai sasaran meningkatkan pencapaian pendidikan rendah dan menengah bagi memastikan 50 peratus keluarga Melayu Sarawak memiliki ijazah dan 50 peratus lagi memiliki diploma berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KPMIC anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa semalam.
Jelasnya Dr Annuar, yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, fokus utama adalah untuk mencapai salah satu objektif dalam teras pendidikan PSMS 2035, selain memantapkan kecemerlangan untuk meneruskan kejayaan pada peringkat menengah.
“Kita juga ingin memberikan kefahaman mengenai perubahan perkembangan kendiri dan meningkatkan motivasi pelajar agar bertindak rasional dalam kehidupan.
“Memupuk jati diri pelajar sebagai legasi intelektual Melayu yang berbudaya dan membina semangat ukhuwah Islamiah dan kemahiran berpasukan dalam kalangan peserta,” ujarnya.
Tambahnya, KPMIC dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah dan orang perseorangan.
KPMIC siri pertama telah diadakan di SMK Sundar, Lawas, pada 24 Ogos lalu, sementara siri kedua di SMK Agama, Sibu pada 26 Oktober lalu.
Dr Annuar turut menyentuh tentang bantuan yang disediakan oleh kerajaan dari segi pinjaman dan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
“Tabung Baitumal Sarawak (TBS) juga ada menyediakan bantuan untuk sambung pelajaran.
“Menjelang 2026, Kerajaan Sarawak akan menawarkan pendidikan tinggi percuma untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak,” tambahnya.


