KOTA SAMARAHAN: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih baharu bagi meneruskan proses pembentukan skuad sepak takraw Sarawak untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Presiden PSS, Datuk Ismail Abang Saufi menegaskan, perkara tersebut masih belum dimuktamadkan dan akan diumum dalam jangka waktu terdekat.
Menurut Ismail, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bagi membincang secara terperinci perkara berkenaan.
“Ia belum dapat diumumkan lagi kerana kami akan bermesyuarat dengan pihak SSC sekali gus menyerahkan nama calon jurulatih terbabit untuk tindakan lanjut,” ujar Dato Ismail kepada Arena Suara Sarawak.
Kekosongan jawatan ketua jurulatih itu berikutan pemergian Allahyarham Amir Abu Bakar, 61, pada Mac lepas akibat komplikasi jantung.
Dalam perkembangan yang lain, beliau akui bahawa pihaknya juga sudah mengenal pasti pemain muda berpotensi untuk diberi peluang menyarung jersi Sarawak di temasya Sukma 2026 nanti.
“Memang ada pemain yang berbakat serta boleh diketengahkan pada kejohanan dwitahunan negara itu kelak,” tegas beliau.
Sambil menyatakan kelompok pemain muda terbabit untuk pembentukan skuad lelaki dan wanita.

