LUNDU: Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini, isu kesihatan mental semakin membimbangkan, bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak dan remaja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Program Jelajah Kasih: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) menawarkan kaunseling individu dan keluarga serta program kesedaran kesejahteraan mental.
“Inisiatif PSSS ini memastikan komuniti mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan dan sokongan tanpa stigma,” katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Program Jelajah Kasih: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan penyampaian sumbangan Back to School di Auditorium Salcra Baju di sini hari ini.
Tambahnya, tekanan yang berpunca daripada masalah keluarga, pembelajaran, dan persekitaran boleh memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik.
“PSSS menjalankan kaunseling untuk individu dan keluarga serta sesi advokasi dan program kesedaran kesejahteraan mental.
“Ada dua jenis PSSS; yang bergerak dan statik. PSSS bergerak mempermudah kita sampai kepada lebih banyak komuniti di seluruh Sarawak dan di seluruh negara,” jelasnya.
Beliau turut menyeru lebih banyak pihak untuk bekerjasama dalam memperkukuh perkhidmatan sokongan sosial seperti PSSS, sambil menekankan bahawa Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyediakan resit pengecualian cukai bagi setiap sumbangan yang diterima.
Dalam pada itu, seramai 220 pelajar yang memerlukan menerima sumbangan persekolahan melalui program Back to School.


