
AIRUL AFFENDI ALI
“Ayah, betul ke kalau tak puasa, tak boleh raya?.
Soal Aariqin dengan dahi berkerut sambil matanya mulai mendung.
Aku tersenyum.
Buku yang kubaca bertajuk Lagu Puisi Terakhir tulisan cikgu Justi Amban, kuletakkan diatas meja bersebelah kerusi rotan.
Tubuh mula kutegakkan dengan mataku memandang wajah comel anak lelaki ini.
“Siapa bagitahu Aariqin?”, balasku bersahaja.
“Aariqin dengar kawan-kawan cakap dekat sekolah.”
Anak kecil itu mula memanjat pehaku dan duduk dengan manja.
“So, Aariqin nak puasalah eh?”
Soalan balas yang spontan tercapul.
Mulanya hanya sekadar menyambung perbualan.
Tetapi soalan itu dianggap satu cabaran pula oleh Aariqin.
Matahari ciptaan manusia mula terbit di dapur dan ruang makan kebanyakkan rumah di Kawasan kejiranan.
Angka 5 pagi ditunjuk oleh jarum yang lebih pendek, manakala jarum panjang berada tepat di angka 12.
“Aariqin kena makan banyak sikit, minum pun kena banyak.
Ok?”.
Isteriku menaburkan kata-kata semangat kepada anak sulungnya itu.
Namun Aariqin tidak pula menyahut.
Hanya kepalanya terangguk-angguk, antara terbuka atau masih lagi dibuai mimpi.
“Aariqin, makan cepat, nanti azan dah tak boleh makan minum”.
Sengaja kunaikkan desibel bunyi yang keluar dari peti suara.
Biar getaran yang terhasil mampu membuat Aariqin sedar semula dari mamai tidurnya itu.
Pelahan-lahan tangannya menyuap nasi bersama ayam goreng ke mulut.
Sesekali semuanya jatuh semula ke dalam pinggan.
“Murid-murid, siapa berpuasa hari ini?”
Soal ustazah Syuhada, guru kelas 1 Al-Biruni yang baru sahaja berpindah ke Sekolah Integrasi.
Hampir separuh murid kelas mengangkat tangan, termasuk Aariqin.
“Ustazah, kenapa kita wajib puasa?”
Soal Aariqin secara tiba-tiba kepada Ustazah Syuhada.
“Murid-murid, puasa adalah rukun islam.
Selain itu, kita boleh mendidik diri kita agar mengasihani orang yang tak berkemampuan diluar sana.”
“Macam di Palestin?”, belum sempat Ustazah Syuhada meneruskan penerangan, Aariqin menyoalnya sekali lagi.
“Tapi di Palestin sepanjang tahun tak cukup makanan, mereka macam puasa hari-hari je ustazah”.
Suasana di dalam kelas tiba-tiba bungkam. Ustazah Syuhada seperti kehilangan kata-kata.
“Ayah, perut Aariqin tiba-tiba keluar bunyi, dari lepas zohor sampai sekarang.
Kadang-kadang kuat macam bunyi mercun pop sampai kawan-kawan saya dengar”. Aariqin merebahkan kepalanya pada ribaku.
Agak panas cuaca sekarang.
Jam 6 petang pun matahari masih bertaring di dada langit.
Bahangnya bukan saja menguji kanak-kanak, orang dewasa seperti aku juga sesekali terasa perit ditekak.
“Jom ikut ayah ronda naik motor keliling taman nak? “
Langit mula berubah jingga.
Kuih dan lauk sederhana di meja makan. “Aariqin, baca doa berbuka puasa cepat”.
Anak kecil itu menadah tangan. ” ya Allah kau ampunkan dosa kami, kerana kami berbuka puasa, tetapi saudara kami di Palestin masih menanti makanan yang entah bila digugurkan dari langit”.
Aku, isteri terdiam. Hanya Aathif, anak kedua menyanyikan lagu Balik Kampung nyanyian Arwah Sudirman Hj Arshad.



