Trending

Pulanglah bang…saya ingin jumpa abang dalam mimpi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PUSA: “Telefon suami berbunyi…ada panggilan, tapi bukan suara suami, saya berdebar-debar. Hati saya berdengup kencang. Rakan suami menelefon dan saya mendengar satu persatu setiap kata-katanya. Patutlah hati saya gusar ketika mengambil air wuduk untuk solat Zuhur,” kata Jamie Taha, 54.

Degupan jantung dan kegusaran hati isteri serangan buaya Sarkawi Talip, 61 benar-benar berlaku – suaminya lesap di Sungai Undai selepas dibaham buaya dan dibawa ke dasar sungai.

Ketika ditemui Suara Sarawak di kediamannya semalam, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui berasa pelik pada hari kejadian pada 2 Julai, namun tidak menyangka dia kehilangan suami sekelip mata.

“Sepanjang hari saya berasa tidak menentu, sehingga saya sendiri bertanya, apakah perasaan ini? Adakah saya akan menemui ajal? Itu yang saya fikirkan dan langsung tidak menyangka kejadian melibatkan suami kerana sebelum ini saya tidak menyedari perubahannya,” katanya.

MASIH HILANG… Ngah Kawi

Kongsi Jamie lagi, setelah suaminya tiada baru dia menyedari perubahan sikap suami yang lebih dikenali orang kampung dengan nama Ngah Kawi.

“Memang ada perubahan, tetapi hanya disedari selepas semuanya berlaku. Dia tidak banyak cakap seperti biasa. Penduduk kampung pun ada beritahu saya tentang perubahannya kerana dia seorang yang peramah.

“Kedua, di malam sebelum tragedi, suami saya hanya menjamah sedikit makanan sedangkan dia kuat makan. “Selain itu, dia langsung tidak bermain dengan cucunya… sentuh pun tidak. Itu yang kami perasan,” tambahnya.

Kata Jamie, adiknya Ibrahim Taha pernah bermimpi pelik sebelum hari kejadian – dia bermimpi bahawa Jamie menabur duit di lokasi suami dilaporkan diserang buaya. “Malah sejak kejadian tempoh hari, saya berharap untuk bermimpi dan berjumpa dia dalam mimpi. Tidak mungkin terjadi walaupun itu harapan terakhir saya.

“Saya dan keluarga berharap jasad suami ditemui segera. Saya tidak berhenti berdoa, dan selepas solat, saya meminta dan merayu kepada Allah SWT, biar dalam apa keadaan jasadnya, biar dikembalikan kepada keluar.

“Setiap kali ke sungai menyaksikan operasi SAR, saya akan berbisik…pulanglah bang, saya rindu abang,” katanya. Tambahnya, harapan sangat besar untuk melihat jasad suaminya dijumpai, Jamie menjelaskan berdasarkan firasatnya, jasad suaminya dirasai masih berada tidak jauh dari lokasi serangan buaya pada tempoh hari.

Hasil perkahwinannya dengan Ngah Kawi dari Igan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nor Faizura 31, Nor Azizi 29, Siti Nurul Syafiqah 23 dan Nor Nazimy 16 dan dua cucu.

Pada 2 Julai lalu, Ngah Kawi dilihat oleh seorang rakan disambar buaya ketika sedang mengikat rumbia di Sungai Undai kira-kira tengah hari Khamis lalu. Operasi SAR semalam memasuki hari keempat masih tidak menemui jasad Ngah Kawi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru