KUCHING: Peragaan busana etnik menerusi pertandingan Ratu Etnik Junior Sarawak dapat memupuk semangat cinta akan warisan, adat dan budaya tempatan, kata Pengarah Majlis Seni Sarawak (MSS), Dayang Mariani Abang Bolhassan.
Menurutnya, ia sekali gus mengasah hasil seni dan kreativiti para peserta, seterusnya memupuk minat anak-anak untuk sentiasa mengenali warisan nenek moyang.

“Menerusi pertandingan seperti ini, kita dapat mendedahkan dengan lebih dekat kepada anak-anak tentang tatacara pakaian etnik yang kita ada.
“Apabila wujud minat dan kefahaman dalam diri anak-anak, mudah untuk mereka mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai warisan ini, seterusnya memelihara pakaian warisan sesebuah etnik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa pertandingan seumpama ini dapat melatih tahap keyakinan anak-anak.

