OSAKA: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan ladang buluh komersial di kawasan hutan tanaman berlesen di Sarawak.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena Sarawak Week 2025 dalam Expo Osaka 2025 bertemakan “Sustainability for Tomorrow”.
Pameran berskala antarabangsa ini berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober depan di pulau buatan Yumeshima, Osaka – melibatkan penyertaan 158 negara dan wilayah serta tujuh organisasi antarabangsa.
MoU tersebut ditandatangani Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah dan Timbalan Presiden Pertama Ferroalloys, Yuki Nakamura disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (II), Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Pengerusi PUSAKA.
Menurut kenyataan PUSAKA, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan negeri membangunkan industri buluh sebagai sumber ekonomi baharu yang mampan dan berpotensi tinggi.
“Melalui kerjasama ini, PUSAKA akan membantu Pertama Ferroalloys mengenal pasti kawasan hutan tanaman yang sesuai, menyediakan benih buluh berkualiti serta memberi sokongan teknikal dalam pengurusan sumber buluh,” jelas kenyataan itu.
Ladang buluh komersial ini dijangka memenuhi keperluan bahan mentah syarikat berkenaan, mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Nilai pelaburan keseluruhan daripada kerjasama ini dianggarkan mencecah RM200 juta dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Kerjasama ini diyakini memberi impak positif terhadap pembangunan industri buluh di Sarawak, sejajar dengan komitmen negeri memperkukuh agenda kelestarian dan pertumbuhan ekonomi berasaskan sumber boleh diperbaharui.


