ARTIKEL

SIDANG MEDIA — Nanta mengadakan sidang media selepas sesi taklimat tender dan lawatan tapak Projek Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan, hari ini. Foto: Ghazali Bujang.

Pusat Kanser Sarawak bernilai lebih RM1 bilion bermula tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan menelan kos melebihi RM1 bilion dijangka bermula awal tahun depan sekali gus menjadi pusat rawatan kanser moden kedua negara selepas Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pusat kanser berkapasiti 310 katil itu akan dibina di tanah seluas 27 ekar yang terletak bersebelahan Pusat Jantung Sarawak, kini dalam proses reka bentuk.

“Hospital ini akan menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam, sekali gus menjadi pusat rawatan kanser moden yang dilengkapi kemudahan perubatan terkini.

“Setakat ini kita difahamkan kos keseluruhan projek akan melebihi RM1 bilion. Kerajaan Sarawak akan mengeluarkan RM1 bilion bagi pembinaan projek ini dan jumlah itu akan dipulangkan semula mengikut mekanisme yang ditetapkan.

“Apa yang boleh saya katakan, hospital ini akan menjadi sebuah pusat rawatan kanser yang sangat moden, terkini dengan kelengkapan perubatan yang canggih,” katanya.

TAKLIMAT — Nanta mendengar penerangan mengenai tapak yang telah diluluskan bagi pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan, hari ini. Foto: Ghazali Bujang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat tender dan lawatan tapak Projek Pusat Kanser Sarawak di sini, hari ini.

Mengenai sesi taklimat itu, Nanta berkata, ia melibatkan syarikat-syarikat yang berjaya melepasi peringkat prakelayakan sebelum mengemukakan tender bagi projek berkenaan.

Menurutnya, taklimat tersebut penting bagi memastikan semua kontraktor memahami secara terperinci skop kerja serta keperluan projek sebelum mengemukakan cadangan masing-masing.

“Kita mahu setiap kontraktor mendapat maklumat yang lengkap supaya mereka dapat menyediakan reka bentuk dan bidaan terbaik mengikut keperluan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Walaupun kementerian menetapkan skop dan keperluan, aspek reka bentuk diserahkan kepada kreativiti setiap syarikat yang terlibat selagi memenuhi semua spesifikasi yang diperlukan,” katanya.

Tambahnya, kontraktor yang disenarai pendek dijangka mengemukakan cadangan mereka menjelang Oktober ini sebelum proses penilaian dimuktamadkan.

Katanya, Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya pada awal 2027.

“Kontraktor akan diberikan tempoh 60 bulan atau lima tahun untuk menyiapkan reka bentuk dan pembinaan projek.

“Selepas siap, projek ini akan melalui Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) selama dua tahun, namun pusat kanser ini dijangka boleh mula beroperasi dalam tempoh tersebut jika semuanya berjalan mengikut perancangan,” jelasnya.

Nanta turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang diberi kepercayaan sekali lagi oleh Kementerian Kesihatan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan projek berkenaan.

“Saya berharap kontraktor yang dipilih nanti dapat melaksanakan projek ini dengan sebaik mungkin supaya Pusat Kanser Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya pesakit kanser di Sarawak,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU