KUCHING: Pembangunan Pusat Kanser Sarawak merupakan inisiatif penting yang bakal menjadi model kerjasama konstruktif antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh rawatan kanser untuk rakyat Bumi Kenyalang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu sekaligus memastikan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sarawak terus diperkasakan secara lebih menyeluruh dan holistik.

“Insya-Allah, usaha ini akan direalisasikan melalui sinergi yang semakin kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, semalam.
Menurutnya, Dr. Sim turut menyentuh isu sumber manusia kesihatan di Sarawak yang masih menjadi cabaran utama di negeri ini.
“Saya menegaskan komitmen penuh untuk menangani cabaran pengurusan tenaga kerja kesihatan di seluruh negara demi memastikan sistem yang lebih stabil, mampan dan responsif, termasuk keperluan khusus di Sarawak,” tegasnya.
Sementara itu, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, pusat berkenaan bernilai RM1.5 bilion selepas proses penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kapasiti 310 katil serta keluasan lantai kasar 154,498.26 meter persegi.
“Kerajaan Sarawak turut meminjamkan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan projek tersebut.
“Pusat Kanser Sarawak ini merupakan fasiliti KKM di Kuching dan akan dioperasikan sepenuhnya oleh kementerian itu, termasuk pembiayaan tahunan bagi gaji, ubat-ubatan dan keperluan lain.
“Sebagai projek persekutuan, agensi pelaksana adalah Kementerian Kerja Raya Malaysia dari Putrajaya,” ujarnya.
Beliau menambah, perkembangan projek itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara Bilangan 3 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 15 Disember 2025.
Mengulas lanjut, katanya, Pusat Kanser Sarawak bukan sahaja bakal menjadi pusat rawatan kanser khusus terbesar dan satu-satunya pusat kanser lengkap di Malaysia malah merupakan komponen penting dalam pembangunan Metropolis Kesihatan Sarawak @ Samarahan yang merangkumi koridor sepanjang enam kilometer.
“Kompleks ini turut merangkumi hab perubatan dan penyelidikan iaitu Pusat Jantung Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Hospital Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Selain itu, hab pengajian tinggi dan penyelidikan seperti UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sarawak dan Pusat Biodiversiti Sarawak juga berada dalam koridor tersebut.
“Hab pembuatan pula merangkumi Zon Industri Bebas Samalaju,” tambahnya.


