ARTIKEL

Dr. Sim (empat dari kiri) mewakili Premier melancarkan Persidangan Rabies in Asia 2026 sempena Rabies in Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini | Foto: Ramidi Subari

Rabies: Sarawak perkukuh kawalan sempadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengawasan dan penguat kuasa bagi mengesan serta mengurus risiko kemasukan rabies merentasi sempadan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata rabies tidak mengenal sempadan daerah, negeri, atau negara; justeru, usaha mengawalnya juga tidak boleh terhad kepada sempadan pentadbiran.

“Rabies tidak mengenal sempadan.

Ia tidak membezakan daerah, negeri, atau negara.

Sebab itu, tindak balas kita juga tidak boleh terhad kepada sempadan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, pada Majlis Pelancaran Rabies in Asia 2026 sempena Rabies in Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau mendedahkan, kedudukan Sarawak di Borneo serta hubungannya dengan wilayah jiran menjadikan kerjasama serantau penting dalam usaha mengawal dan akhirnya menghapuskan rabies.

Justeru, katanya, Sarawak perlu terus bekerjasama dengan negara dan wilayah jiran dalam aspek pengawasan, vaksinasi, kawalan pergerakan haiwan, pembangunan keupayaan, dan perkongsian pengetahuan.

Pada persidangan berkenaan, seramai 113 pegawai Pasukan Penguat Kuasa Jalur Imun (IBET) hadir.

Abang Johari berkata kehadiran mereka penting kerana IBET merupakan antara pihak yang bekerja di lapangan untuk memperkukuh pengawasan, penguatkuasaan, dan pencegahan, terutama di kawasan yang mempunyai risiko pergerakan haiwan merentasi sempadan.

“Peranan IBET perlu terus diperkukuh dan dikekalkan.

Kita memerlukan IBET sebagai sebahagian penting usaha kawalan rabies.

Ini supaya dapat mengekalkan kemajuan ke arah mencapai status bebas rabies, selain meningkatkan keupayaan mengesan dan mengurus sebarang kemasukan rabies merentasi sempadan,” tambahnya.

Katanya, peluasan platform Rabies in Borneo kepada Rabies in Asia turut membuka ruang untuk lebih banyak negara dan organisasi terlibat dalam usaha bersama menangani rabies.

Abang Johari berkata persidangan itu diharap menghasilkan jaringan kerjasama yang lebih kukuh, perkongsian praktikal, serta tindakan yang boleh dilaksanakan di lapangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU