ARTIKEL

RAFIZI RAMLI

Rafizi umum letak jawatan Menteri Ekonomi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun depan.

Dalam kenyataan rasminya, surat peletakan jawatan sebagai jemaah menteri dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.

“Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.

Beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

“Kekalahan saya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini bermakna, saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat dalam kerajaan,” ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi dukungan penuh kepadanya selama ini.

“Saya melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.

“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.

“Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di parlimen dalam sidang seterusnya,” tambahnya.

RMK13 katanya digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya berharap jemaah menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan KPM dalam RMK13.

‘Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

“Kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU