KUCHING: Rakyat diingatkan agar tidak terpedaya dengan dakwaan politik tidak berasas yang cuba mengaitkan penstrukturan semula syarikat Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) dengan usaha Sarawak terlibat aktif dalam industri minyak dan gas serta Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal.
Adun Kota Sentosa Wilfred Yap menegaskan, penstrukturan semula syarikat gergasi minyak dan gas negara yang melibatkan lebih 5,000 kakitangan kontrak itu adalah sebahagian daripada strategi menyesuaikan diri dengan perubahan global serta peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyatakan dengan jelas bahawa pemberhentian itu adalah sebagai langkah strategik dalam menghadapi perubahan industri, bukan hasil daripada usaha Sarawak menuntut haknya.
“Justeru, rakyat negeri ini diseru agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang bertujuan untuk mencetuskan perpecahan dan kekeliruan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan tidak berasas oleh segelintir ahli politik dari Semenanjung Malaysia yang cuba mengaitkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan ke atas hak Sarawak dalam pengagihan gas dengan pemberhentian 5,000 pekerja oleh PETRONAS.


