SIBU: Sarawak harus bersatu dalam menangkis segala taktik politik pihak luar yang menggugat kestabilan negeri ini.
Presiden Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata Sarawak kini menjadi tumpuan dalam dan luar negara, yang mengundang cabaran kepada negeri ini.

“Orang pasti akan mengacau, dan kita harus menjangkakan gangguan tersebut. Seperti anai-anai, mereka akan merosakkan kita perlahan-lahan.
“Mereka menggunakan siasatan dan tangkapan sebagai senjata, jadi kita perlu berhati-hati dengan situasi darurat,” katanya dalam ucapan pada Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 SUPP yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sehubungan itu, Kui Hian, yang juga Timbalan Premier, menegaskan bahawa rakyat Sarawak harus bijak dan kekal bersatu dalam menghadapi strategi yang cuba melemahkan negeri ini.
“Jangan mudah terpedaya dengan helah tersebut dan memberi alasan yang boleh menghalang kita mencapai matlamat tahun 2030,” ujarnya.
Turut hadir adalah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting; Ketua Setiausaha Politik Premier, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman; Ketua Pemuda SUPP, Kelvin Lau; dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting.



