Rakyat perlu berhati-hati dengan informasi dalam Facebook

DEBAK: Rakyat perlu lebih berhati-hati dengan sebaran berbentuk hasutan dan bersifat perkauman yang dimainkan melalui akaun Facebook palsu yang sengaja direka untuk memecah-belahkan.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, bahana akaun Facebook palsu dalam dunia teknologi hari ini semakin membimbangkan.

“Terdapat segelintir individu yang menggunakan akaun Facebook palsu dengan sengaja cuba melaga-lagakan masyarakat serta mengucar-kacirkan sehingga menyentuh sensitiviti kaum.

“Lebih teruk, isu-isu palsu tentang pembangunan dijadikan sebagai perbandingan.

“Justeru, rakyat perlu lebih bijak menilai setiap yang disebarkan di laman media sosial supaya tidak mudah terpedaya dengan hasutan bersifat perkauman yang berniat hendak merobohkan kesatuan rakyat,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan raya oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di rumahnya dekat sini.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bekerja keras untuk menyeimbangkan pembangunan di bandar dan luar bandar.

Razi mengharapkan kemuliaan Hari Raya Aidilfitri yang diserikan dengan program rumah terbuka dan ramah-tamah diharap dapat dimanfaatkan untuk mengeratkan perpaduan kaum melalui amalan kunjung-mengunjung serta ziarah raya.

“Seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini diseru untuk menyemarakkan semangat Syawal.

“Justeru pada hari yang mulia ini, marilah kita anak Sarawak khususnya dan Malaysia amnya memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian.

“Inilah masa paling tepat untuk kita mengenali tradisi adat budaya masyarakat lain yang berjaya menyatupadukan banyak pihak,” ujarnya.

Razi dalam pada itu mengharapkan Aidilfitri dan Gawai Dayak yang disambut baru-baru ini memberi makna besar kepada semua.

Beliau dan keluarga kelihatan penuh mesra menyantuni rakyat yang berkunjung ke rumah.

ZIARAH RAYA … Razi menerima kunjungan raya daripada pelbagai anggota masyarakat yang berbilang kaum dan agama di kediamannya dekat Debak.

Suara Sarawak