ARTIKEL

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Daro, hari ini.

Rakyat Sarawak perlu buka minda demi kemajuan masa depan negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Rakyat Sarawak perlu membuka minda dan melihat dunia dengan lebih luas bagi menimba pengalaman serta pengetahuan baharu yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan negeri ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendedahan kepada kemajuan dunia luar adalah penting kerana Sarawak perlu menggunakan pendekatan dan kaedah baharu dalam merancang pembangunan ekonomi bagi memastikan negeri ini terus berkembang.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Daro, hari ini.

Menurutnya, rakyat harus memanfaatkan keterhubungan Sarawak dengan negara luar termasuk menerusi penerbangan AirBorneo yang akan membuka lebih banyak peluang untuk meneroka dunia luar serta mempelajari kemajuan negara lain.

“AirBorneo kita akan terbang ke Jakarta, rantau ASEAN dan juga Asia Timur. Jadi kita dapat pergi ke negara mereka. Dengan peluang ini, rakyat Sarawak mesti membuka minda dan melihat dunia nyata.

“Dari situlah kita dapat melihat bagaimana untuk membangunkan negeri kita,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Daro di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa aspirasi pembangunan itu merangkumi seluruh Sarawak yang diyakini mampu muncul sebagai negeri maju dengan kemudahan moden serta menjadi contoh kepada kawasan lain.

“Apabila ekonomi kita betul, pelaburan akan masuk dan kita akan mendapat manfaat serta keuntungannya. Sebab itu ekonomi Sarawak dirangka dengan cara baharu sehingga melangkaui 2030,” tegasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh sumber pendapatan supaya hasil yang diperoleh dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk pembangunan dan bantuan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa kekuatan kewangan tersebut membolehkan Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Bahkan, pembangunan perumahan seperti Darul Hana di Kuching dan Kemuyang di Sibu turut menarik perhatian pihak dari Semenanjung yang datang untuk melihat sendiri pendekatan pembangunan dilaksanakan Sarawak.

“Mereka datang melihat bagaimana kita membangunkan Darul Hana dan Kemuyang. Mereka mahu belajar daripada kita dan kita berkongsi pengalaman.

“Ini menunjukkan apabila kedudukan kewangan negeri kukuh, kita mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pembangunan dan mengembalikan manfaatnya kepada rakyat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU