Ramai pelancong batal tempahan

KUCHING: Pemain industri pelancongan di Sarawak turut menerima tempias ekoran penularan wabak novel koronavirus.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ramai pelancong membatalkan tempahan penginapan serta penerbangan mereka ke Malaysia dan Sarawak.

“Industri pelancongan seperti perhotelan, syarikat penerbangan dan pemandu pelancong antara yang menerima kesan pembatalan tempahan tersebut,” ujarnya.

Abdul Karim menjelaskan, segala tempahan harus dibayar semula kepada pelancong atau memanjangkan tempoh sah terhadap tempahan yang dilakukan.

Tegasnya, agensi pelancongan memerlukan pelancong manakala hotel bergantung kepada pengunjung dari luar negara dan jika berterusan, ia akan menyukarkan mereka.

“Perbincangan pada hari ini (semalam) membincangkan bagaimana untuk membantu pemain industri pelancongan dalam situasi kini.

“Dengan pengalaman yang ada, saya yakin pemain industri pelancongan dapat mencari peluang lain dan saya menyokong usaha mereka,” katanya pada sidang media setelah Sesi Dialog Bersama-sama Penggiat Industri Pelancongan di sini, semalam.

Abdul Karim turut berkata, kementeriannya melalui agensi yang berkaitan akan meneruskan program dan acara pelancongan yang telah dirancang.

Tambahnya, acara seperti festival muzik, perlumbaan spartan, What About Kuching dan maraton akan diteruskan tahun ini. Beliau turut menggalakkan pemain industri pelancongan untuk mempromosikan program mereka kepada pelancong domestik.

“Mereka boleh mempromosikan program semasa cuti panjang kepada pelancong dari Semenanjung Malaysia dan Sabah,” katanya.

Suara Sarawak