ARTIKEL

Ratu Pahang dan Anakandanya Sambut Ulang Tahun Juma’ani Pavilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan sambutan Majlis Ulang Tahun Ketiga Juma’ani Pavilion yang berlangsung di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 4 petang diiringi anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda disambut oleh warga kerja Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan tetamu kehormat yang lain.

Lawatan baginda bersama anakandanya dimulakan di Aras G, termasuk menyaksikan peragaan JUMA’ANI Collection by Seraya Era (Pink Jambu).

Pada masa sama, baginda turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara CENTEXS Commercial Sarawak dan Tun Jugah Foundation (Olah Idup).

Bersempena majlis tersebut, Tunku Azizah turut berkenan menyempurnakan upacara pemotongan kek sambutan ulang tahun ketiga Juma’ani Pavilion.

Lawatan baginda juga diteruskan ke Aras 1 yang merangkumi Juma’ani Pavilion Production Centre, demonstrasi jahitan upholsteri dan Fesyen Teknologi CENTEXS, selain menyaksikan demonstrasi tenunan songket oleh para prospek.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman; Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri serta wakil yang lain.

Untuk rekod, pada 7 Disember 2022, Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Juma’ani Pavilion dan tiba pada jam 8.14 malam. Ketibaan baginda ketika itu disambut Allahyarhamah isteri Premier, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tunku Azizah kini berada di Kuching untuk lawatan kerja tiga hari bermula 7 hingga 9 Disember bagi menyerikan pelbagai program pemerkasaan industri tekstil dan budaya tempatan.

Terdahulu, baginda turut menyampaikan ucaptama pada Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BITF25) di Hotel Pullman Kuching, sebelum berangkat ke majlis sambutan ulang tahun Juma’ani Pavilion.

Sekitar rakaman ketika Tunku Azizah bersama anakandanya mengadakan lawatan di Juma’ani Pavilion. (FOTO GHAZALI BUJANG)

BERITA LAIN

BERITA TERBARU