Ratusan majikan banjiri Balai Polis mohon permit kebenaran beròperasi

SIBU: Beratus-ratus majikan atau pemilik syarikat di sini hari ini membanjiri balai polis bagi mendapatkan permit polis untuk pekerja.
Setiap perkhidmatan penting yang disenaraikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) diwajibkan memohon permit polis bagi pergerakan pekerja mereka pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia adalah pergerakan pekerja mereka untuk turun ke tempat kerja dan pulang ke rumah.
Tinjauan Suara Sarawak mendapati hari ini orang ramai terus membanjiri Balai Polis Sentral Sibu dan Balai Polis Lanang.
Meskipun hari hujan, kebanyakan mereka yang merupakan majikan serta pemilik syarikat tetap tidak berganjak untuk berbaris panjang hingga ke luar kawasan balai.

PENUH…Orang ramai ketika berbaris panjang di Balai Polis Sentral Sibu untuk memohon permit polis.

Cuaca yang tidak mengizinkan itu turut membuatkan mereka yang hadir itu sedikit selesa berbaris panjang kerana tidak panas meskipun berpayung.
Hasrat untuk menemubual dengan mereka yang hadir di situ kurang berjaya kerana banyak yang tidak mahu didekati serta ditemuramah.
Hanya secara rambang sahaja yang dapat diperolehi tetapi enggan memberi nama sebenar dan wajah mereka untuk diambil gambar.
“Cukuplah sekadar pengetahuan sahaja. Tak payah diketahui biar orang tahu luahan majikan.
“Tindakan sebegini amat menyusahkan serta merumitkan. Kenapa pihak polis tidak menyediakan pendaftaran permit secara atas talian sahaja? Kan senang….,” kata salah seorang majikan yang enggan dikenali.

Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak berkenaan untuk menyuruh majikan atau pemilik syarikat datang sendiri untuk memohon permit bekerja adalah tidak sesuai memandangkan pandemik Covid-19 ini.
“Pihak berkenaan boleh menetapkan apa-apa sahaja syarat tetapi biarlah ia memudahkan rakyat.
“Tindakan seperti ini macam menggalakkan perhimpunan. Kan lebih semua atas talian,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh kesal dengan situasi yang berlaku di Balai Polis Sentral Sibu dimana orang ramai bersesak-sesak berbaris panjang untuk memohon permit.
“Walaupun situasi COVID-19 di Sibu belum stabil dan ‘ancamannya’ masih belum reda lagi, orang awam di Sibu khususnya para majikan dan pemilik syarikat telah memberanikan diri untuk memohon permit polis.

“Sepatutnya mereka terus kekal berada di rumah dan tidak perlu berdepan dengan risiko penyebaran Covid-19 dengan bersesak-sesak seperti itu memenuhi Balai Polis Sentral Sibu.
“Namun, saya tak pasti adakah mereka yang datang itu adalah tergolong dalam perkhidmatan penting dibawah senarai JPBN. Kalau ya pun, banyak juga sektor perkhidmatan penting di Sibu ini.
Diharap mereka yang datang ini tidak mengambil kesempatan serta bersikap jujur.
“Bagaimanapun ia terserah kepada polis untuk memutuskan sama ada permit mereka diluluskan atau tidak,” tegas beliau.
Dengan tindakan berbaris panjang serta memenuhi balai semata-mata memohon permit polis, Ting menyelar sikap sebegini yang jelas menunjukkan bahawa ramai tidak menganggap penukaran Covid-19 ini serius.
“Mereka seolah-olah bersedia mengambil risiko untuk terus membuka perniagaan mereka,” tambah Ting.
Semalam (Isnin), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) menetapkan esok (27 Januari) semua syarikat yang disenaraikan dalam perkhidmatan penting oleh JPBN dikehendaki menggunakan permit polis untuk pekerja mereka turun ke tempat bekerja dan balik dari bekerja ke rumah.
Permit polis itu adalah melibatkan pergerakan pekerja dalam syarikat berkenaan.
Ini adalah pendekatan baharu oleh JPBBS dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini meskipun dalam tempoh PKP.
Penggunaan permit polis akan dikuatkuasakan esok hanya untuk bahagian Sibu sahaja.