KUCHING: Rayuan semakan hukuman mati pembunuh aktivis sosial Bill Kayong untuk diringankan kepada hukuman penjara ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Mohamad Fitri Pauzi, 37, sekali gus mengekalkan hukuman mati perayu.
Dalam keputusan itu, Abang Iskandar menyatakan bahawa permohonan untuk meringankan hukuman mati kepada pemenjaraan tidak sepatutnya dibenarkan.
“Pembunuhan terhadap mangsa dilakukan dengan kekejaman yang melampau serta membangkitkan kemarahan masyarakat.
“Kita mengambil kira bahawa ini adalah pembunuhan yang penuh dendam atas dakwaan pertikaian tanah.
“Pemohon telah merancang jenayah ini apabila senjata pilihannya bukan hanya sebutir peluru, dan sememangnya si mati meninggal dunia serta-merta apabila banyak pelet menembusi bahagian bawah kepalanya,” katanya.
Tambah beliau, berpendapat keadaan kes itu mewajarkan mereka menggunakan budi bicara hukuman mati adalah hukuman yang sesuai dan adil untuk dikenakan ke atas perayu.
Terdahulu, perayu membuat permohonan semakan semula hukuman di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dan Pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori 2023, yang memberikan budi bicara kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula kes melibatkan hukuman mati.
Pada 15 Mac 2022, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan hukuman mati mandatori ke atas perayu selepas bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, perayu yang bekerja sebagai pengawal di kelab malam didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Miri pada 2018 kerana membunuh seorang aktivis sosial Bill Kayong dengan menembak mangsa di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun 2016.
Rayuan tertuduh juga ditolak di Mahkamah Rayuan pada 18 Februari 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun jika tidak dihukum mati, dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut laporan terdahulu, ketika dipanggil untuk membela diri, Fitri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan kes.
Malah, topeng muka dan sarung senapang yang dikemukakan sebagai barang kes terdapat kesan DNA perayu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala perayu diwakili seorang peguam lantikan mahkamah.



