ARTIKEL

RDPJFC perhebat latihan menjelang Grand Final Piala Cahya Mata 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Red Deer Petra Jaya FC (RDPJ FC) mempergiat latihan kecergasan dan ketahanan fizikal menjelang pertemuan pembukaan menentang Bomba Negeri Sembilan dalam Grand Final Piala Cahya Mata 2026 di SMART MBS Arena, Seremban 2, pada 5 November depan.

Wakil tunggal Sarawak yang juga juara peringkat negeri itu dijadual turun beraksi seawal jam 8 pagi, sekali gus memulakan misi memburu kejuaraan kebangsaan dalam pertandingan yang menghimpunkan lapan pasukan dari seluruh negara.

Pengurus RDPJ FC, Izwandie Razali berkata, persiapan akhir pasukannya kini memberikan tumpuan dengan peningkatan stamina, disiplin permainan dan keserasian pemain bagi memastikan mereka bersedia menghadapi persaingan lebih mencabar.

PERSIAPAN… Barisan pemain RDPJ FC giat menjalani latihan kecergasan menjelang Grand Final Piala Cahya Mata 2026 di Negeri Sembilan, minggu depan.

“Kami kini berada dalam fasa persiapan terakhir sebelum berangkat ke Negeri Sembilan.

Alhamdulillah, setakat ini komitmen semua pemain amat positif dan mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi latihan.

“Latihan bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan stamina dan kecergasan, malah turut menekankan persefahaman, disiplin serta keserasian antara pemain,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

PERSIAPAN… Barisan pemain RDPJ FC giat menjalani latihan kecergasan menjelang Grand Final Piala Cahya Mata 2026 di Negeri Sembilan, minggu depan.

Terbaharu, RDPJ FC menjalani latihan berjalan pantas, berjoging dan kecergasan di sekitar Taman Perpaduan serta kawasan tebingan sungai di Kuching sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ketahanan fizikal pemain sebelum kejohanan bermula.

Izwandie mengakui pertembungan pertama menentang Bomba Negeri Sembilan bakal menjadi ujian penting, terutama kerana tuan rumah dijangka memberikan tentangan sengit dalam usaha memburu keputusan positif.

“Kami sedar cabaran di peringkat Grand Final bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan Bomba Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama.

PERSIAPAN… Barisan pemain RDPJ FC giat menjalani latihan kecergasan menjelang Grand Final Piala Cahya Mata 2026 di Negeri Sembilan, minggu depan.

Namun, kami bersedia memberikan saingan sengit dan membawa cabaran Sarawak dengan sebaik mungkin,” katanya.

Izwandie berharap pengalaman mengharungi saingan peringkat Sarawak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain, selain mahu pasukannya mengekalkan disiplin dan semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan.

“Kami mahu semua pemain menggunakan kekuatan dan pengalaman yang ada untuk memberikan persembahan terbaik.

asaran kami adalah untuk bersaing sehabis baik dan cuba membawa pulang kejuaraan buat Sarawak,” katanya.

Berdasarkan jadual pertandingan, RDPJ FC yang diundi dalam Kumpulan B akan meneruskan saingan menentang Jendarata FC dari Perak pada 6 November, jam 8 pagi, sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang AR Gang dari Sabah pada 7 November, juga jam 8 pagi.

Sementara itu, Kumpulan A mempertaruhkan Cheng City FC dari Melaka, Twentyfour FC dari Pahang, The Bangsal Kopi dari Kelantan dan MPAJ FC dari Selangor, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Sebagai rekod, RDPJ FC menempah tiket ke pentas kebangsaan selepas menewaskan Gabungan Tentera Darat 3-2 dalam aksi final peringkat Sarawak di Padang Sekolah Sukan Tabuan pada 27 September lalu.

Kemenangan tersebut lebih bermakna apabila RDPJ FC berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum melengkapkan kebangkitan dramatik untuk mengesahkan kejuaraan negeri, sekali gus menjadi pembakar semangat menjelang cabaran di Seremban.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU