KUCHING: Pembahagian kerusi antara empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 akan mengambil kira kerusi yang dimenangi calon gabungan itu pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perincian pembahagian kerusi itu masih dibincangkan dan ia belum dimuktamadkan lagi ketika ini.
“Pembahagian kerusi mengikut apa-apa yang ada sekarang, yang dimenangi oleh calon-calon kita…kita akan bincang secara terperinci,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Petra Jaya, hari ini.
Terdahulu, Premier Sarawak itu berkata GPS memutuskan untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRU Sarawak Ke-13, yang dijangka berlangsung tahun ini.
Katanya GPS akan menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tarikh pilihan raya sebelum menentukan langkah seterusnya.
Selain itu, Abang Johari berkata senarai calon GPS akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.
Pada Pilihan Raya Umum Sarawak ke-12 pada 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar.
Daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi 47 kerusi, diikuti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11 kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) lima kerusi.
Baki enam kerusi dimenangi pembangkang, iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan empat kerusi dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan dua kerusi.
Bagaimanapun selepas PSB dibubarkan pada 2024, ia membawa kepada penyertaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam PDP.
Manakala seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.
GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar daripada Barisan Nasional (BN) susulan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada 26 Oktober lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Sarawak ke-13.
Pembubaran diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.





