KUCHING: Pembinaan masjid baharu di 11 Rejimen Melayu Diraja (11 RMD), Semenggoh, bernilai kira-kira RM2.4 juta kini mencapai kemajuan 70 peratus.
Manakala projek tempat letak kenderaan di Masjid Salahuddin, Kem Penrissen, dijangka dilaksanakan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri pada Januari 2027.
Memetik laporan UKAS, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged), Brigedier Jeneral Zulkininie Yunus berkata, kedua-dua projek itu antara perkara yang dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha memperkukuh kemudahan dan kebajikan warga tentera di negeri ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai delegasi 3 Briged mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini (28 Oktober).
Menurutnya, pertemuan tersebut turut menjadi platform untuk memperkenalkan diri secara rasmi selepas mengambil alih tugas sebagai Panglima 3 Briged sekitar dua bulan lalu, selain memberi penerangan peranan, pelaksanaan operasi dan keperluan pasukan berkenaan.
“Pada hari ini saya mengambil ruang dan peluang untuk memperkenalkan diri sebagai Panglima 3 Briged yang baharu serta memaklumkan kepada Premier berkenaan peranan, pelaksanaan operasi, peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Sarawak dan sokongan yang boleh diberikan kepada warga 3 Briged di Kem Penrissen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkininie berkata, pertemuan itu turut menyentuh potensi pelibatan pasukan khas dalam program pelancongan negeri.




