ARTIKEL

SAMAN… Antara penunggang motosikal yang diperiksa semalam.

Op Motosikal Miri: 35 saman dikeluarkan, 38 motosikal diperiksa


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebanyak 35 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selepas polis memeriksa 38 motosikal dalam operasi membanteras kegiatan samseng jalanan di tiga kawasan sekitar bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pengubahsuaian motosikal yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan merupakan kesalahan paling banyak dikesan sepanjang operasi berkenaan.

Menurutnya, Op Motosikal yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 42 individu, terdiri daripada 40 lelaki dan dua wanita.

“Operasi yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 9.30 malam itu tertumpu di kawasan perumahan Taman Tunku, Taman Jelita dan Kampung Lusut.

“Operasi ini bertujuan membendung kegiatan samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selain pengubahsuaian motosikal, polis turut mengesan kesalahan menunggang tanpa lesen memandu, menggunakan ekzos yang diubah suai sehingga menghasilkan bunyi bising serta menunggang motosikal tanpa cermin sisi.

Kesalahan lain katanya termasuk penggunaan motosikal tanpa nombor pendaftaran dan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Mohd Farhan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik dan penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan.

‘’Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang kegiatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, khususnya di kawasan perumahan,’’ jelasnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan supaya menyalurkannya kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU