ARTIKEL

Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli, mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili, hari ini.

KJRI berhasrat buka pejabat perwakilan di Miri


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) berhasrat membuka pejabat perwakilan di Miri bagi memudahkan urusan warga Indonesia khususnya mereka yang bekerja dan menetap di kawasan utara Sarawak.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, hasrat itu mengambil kira kehadiran tenaga kerja Indonesia yang ramai di Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas, sekali gus memperlihatkan keperluan untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih mudah diakses oleh warga negara berkenaan.

‘’Perkara itu dibincangkan sempena kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli, ke jabatan berkenaan, hari ini.

Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli, mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili, hari ini.

‘’Ketibaan delegasi KJRI disambut oleh Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Abdul Halim Abang Naili bersama-sama pegawai kanan JIM Sarawak,’’ kata kenyataan itu.

Pertemuan tersebut tambah kenyataan itu, akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pengurusan imigresen dan kebajikan warga Indonesia di Sarawak.

Dalam perbincangan itu katanya, kedua-dua pihak turut mengambil maklum kehadiran tenaga kerja Indonesia yang ramai di kawasan utara negeri ini.

“KJRI menyatakan hasrat untuk membuka pejabat perwakilan di Miri bagi memudahkan urusan berkaitan warga Indonesia, terutama mereka yang berada di kawasan berkenaan.

“Perbincangan turut menyentuh sistem yang digunakan di Johor Bahru bagi melancarkan urusan pemindahan pulang warga Indonesia ke negara asal,’’ tambah kenyataan itu.

KJRI Kuching turut menyatakan hasrat untuk mempelajari sistem tersebut bagi menilai kesesuaiannya dilaksanakan di Sarawak, tertakluk kepada keperluan dan prosedur yang berkaitan.

Kunjungan itu turut menjadi platform untuk memperkenalkan beberapa pegawai baharu KJRI kepada pihak JIM Sarawak.

Menurut JIM Sarawak, pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama serta meningkatkan penyelarasan dalam urusan imigresen dan pengurusan warga Indonesia di negeri ini.

‘’Kerjasama tersebut diharap dapat memastikan urusan berkaitan imigresen dilaksanakan dengan lebih teratur, cekap dan berkesan, selaras dengan peranan serta tanggungjawab kedua-dua pihak,’’ kata kenyataan itu lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU