MARUDI: Regata Baram menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di Sarawak yang membolehkan negeri ini mengekalkan kestabilan serta muncul sebagai antara ekonomi berpendapatan tinggi di Malaysia.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ibu kepada semua regata di Sarawak itu mempunyai sejarah tersendiri dan menjadi antara platform terbaik yang mencerminkan identiti masyarakat majmuk di negeri ini.

“Regata Baram mempunyai sejarahnya tersendiri di Sarawak iaitu sebagai ‘the mother of all regattas. Ini menjadikannya unik dengan pertemuan pelbagai budaya yang bergerak dalam satu irama.
“Walaupun liriknya berbeza-beza, kita tetap bergerak ke arah yang sama untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum dan berbeza agama.
“Hari ini kita dapat melihat masyarakat Iban, Orang Ulu, Cina, Melayu dan kaum lain bersama-sama memeriahkan regata ini,” katanya pada Majlis Perasmian Regata Baram 2026, di sini, hari ini.
Tambahnya, perpaduan yang kukuh itu membolehkan Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan dan melaksanakan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Tidak ada kerajaan negeri lain di Malaysia yang memberikan pendidikan tinggi percuma. Hanya Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berani melaksanakannya kerana kita melihat keperluan masa depan.
“Sebab itu rakyat mesti sentiasa terus bersatu dan mempertahankan keamanan untuk mengangkat negeri ke tahap yang lebih tinggi. Kalau keadaan negeri kucar-kacir, bagaimana kita hendak mengadakan regata seperti ini?” ujarnya.
Tegasnya, kestabilan yang dinikmati Sarawak turut membolehkan negeri ini mendahului dalam beberapa bidang strategik termasuk tenaga boleh baharu, perdagangan karbon, ekonomi digital dan penyiaran.
“Sekarang ada yang cemburu dengan kita kerana Sarawak semakin ke hadapan. Kita mempunyai stesen televisyen sendiri, membangunkan ekonomi tenaga boleh diperbaharui serta teknologi digital yang menyokong pembangunan ekonomi negeri.
“Bahkan, pendapatan negeri kini meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2017 serta pengiktirafan Bank Dunia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi sejak 2022 membuktikan hala tuju pembangunan negeri berada di landasan yang tepat.
“Kita juga merupakan antara lima ekonomi terbesar di Malaysia. Bagaimanapun saya belum berpuas hati. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin menggambarkan kekuatan ekonomi, tetapi yang lebih penting ialah pendapatan isi rumah rakyat mesti terus meningkat,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur asas termasuk bekalan air dan elektrik bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Kita dalam Kerajaan GPS tidak mahu ada rakyat yang ketinggalan, sama ada mereka tinggal di bandar, separa bandar mahupun di luar bandar.
“Inilah pendekatan kita, iaitu memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pembangunan secara bersama,” tegasnya.


