BRUNEI DARUSSALAM: ADUN N28 Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengetuai Delegasi Sarawak menerusi Jawatankuasa Induk Regata Lingga 2025 melaksanakan kunjungan hormat kepada Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKEBAR), pada Rabu.
Menurutnya, kunjungan tersebut bagi menyampaikan jemputan rasmi serta menyantuni pihak PERKEBAR sebagai pasukan antarabangsa yang turut menyertai Regata Lingga pada tahun 2023 yang lalu.

Sekali gus, katanya, sebagai usaha memperkukuh reputasi acara tersebut yang kini memasuki edisi Ke-3 di peringkat antarabangsa dengan pembabitan pasukan dari negara luar.
“Penganjuran pesta ini amat penting dalam menarik kedatangan pelancongan antarabangsa, penduduk tempatan serta menjadi platform utama dalam memperkenalkan keunikan fenomena Regata Lingga sebagai salah satu acara warisan sukan air yang ikonik di Sarawak.
“Secara tidak langsung, Regata Lingga berperanan sebagai tarikan pelancongan utama ke kawasan Lingga, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan khususnya di kawasan daerah Lingga secara amnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegasnya, penyertaan pasukan antarabangsa dalam acara tersebut berpotensi menjadikan Regata Lingga sebagai acara bukan sahaja memperkukuh jalinan diplomasi budaya dan sukan malah membuka peluang kepada usahawan tempatan dan sektor pelancongan di kawasan terbabit berkembang maju.
Dalam kunjungan itu, beliau mendedahkan PERKEBAR memberi sokongan terhadap penganjuran tersebut dan akan memberi maklum balas penyertaan pasukan mereka dalam masa terdekat.
Terdahulu, sesi pertemuan menyaksikan Timbalan Pengerusi Induk Regata Lingga, Hamizan Yahya membentangkan maklumat terkini berkenaan penganjuran Regata Lingga.
Acara tersebut dijadual berlangsung di Tebingan Sungai Lingga bermula 28 hingga 30 November 2025.


