LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, menegaskan bahawa Regata Lingga Edisi Ketiga yang dijadual berlangsung pada Disember akan tetap dianjurkan di Sungai Lingga.
Menurutnya, yang juga Penaung Regata Lingga, tiada pertukaran lokasi seperti tersebar di media sosial.
“Selaku salah seorang penaung dan mewakili Jawatankuasa Induk Regata Lingga, saya memaklumkan bahawa Regata Lingga tetap dianjurkan di Sungai Lingga pada Disember,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi.
Jelasnya, penjelasan ini dibuat susulan terdapat maklumat tidak sahih tersebar di media sosial yang mendakwa terdapat pertukaran lokasi acara tersebut.
“Diharap dengan kenyataan ini, tidak timbul lagi sebarang spekulasi berkenaan Regata Lingga. Pengumuman rasmi tarikh regata akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dayang memohon agar orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak Jawatankuasa Penganjur Regata Lingga.


