ARTIKEL

Chin (empat kiri) bersama Abang Johari (lima kanan) dan tetamu kehormat lain melakukan simbolik Majlis Pecah Tanah Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, hari ini. - Gambar Ramidi Subari

Regency Specialist Hospital Kuching dijangka wujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Regency Specialist Hospital Kuching dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang apabila hospital berkenaan beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Chin Wei Jia berkata, peluang pekerjaan itu merangkumi bidang perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu, pengurusan penjagaan kesihatan, perkhidmatan teknikal dan perkhidmatan sokongan.

Beliau berkata, perkembangan itu selaras dengan komitmen HMI Medical untuk terus memperluaskan keupayaan penjagaan kesihatan di Malaysia, selain memastikan tenaga kerja yang mencukupi bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

“Ketika kami membuat persiapan untuk pembukaan Regency Specialist Hospital Kuching dan terus mengembangkan keupayaan penjagaan kesihatan kami di seluruh Malaysia, kami juga komited untuk melabur dalam tenaga kerja yang akan menyediakan penjagaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Regency Specialist Hospital Kuching di Northbank, di sini, yang disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Chin berkata, HMI Medical turut melabur RM50 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menyokong pembangunan jangka panjang tenaga kerja penjagaan kesihatan yang bersedia untuk masa depan.
Katanya, dana Tenaga Kerja Penjagaan Kesihatan HMI Malaysia 2030 akan menyokong biasiswa, penajaan pendidikan, penempatan klinikal dan peluang pembangunan profesional di hospital HMI Malaysia di Kuching, Johor dan Melaka.

“Inisiatif pembangunan bakat ini juga akan memberi manfaat kepada golongan profesional penjagaan kesihatan dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu, pengurusan penjagaan kesihatan dan sokongan hayat kecemasan,” katanya.

“Komitmen lima tahun ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa pelaburan dalam pembangunan bakat penjagaan kesihatan adalah penting untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.

Regency Specialist Hospital Kuching merupakan hospital pertama HMI Medical di Sarawak dan akan dibangunkan dengan kapasiti 300 katil dalam dua fasa.

Fasa awal projek itu membabitkan pelaburan lebih RM400 juta, manakala kapasiti serta pusat kecemerlangan terpilih akan terus diperkukuh pada fasa seterusnya bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin berkembang.

Hospital berkenaan direka sebagai hospital SMART generasi seterusnya dengan integrasi teknologi perubatan termaju, sistem digital yang berhubung dan aliran kerja klinikal pintar bagi menyediakan penjagaan kepakaran berpusatkan pesakit selaras dengan piawaian yang diakreditasi di peringkat antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU