ARTIKEL

Rekod jualan RM6.78 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 mencatat prestasi kukuh sepanjang empat hari penganjurannya dari 23 hingga 26 September 2026, dengan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM6.78 bilion, peningkatan RM730 juta atau 12.0 peratus berbanding RM6.05 bilion pada tahun 2025.

Pencapaian ini turut melebihi sasaran jualan RM5.0 bilion sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus, sekali gus mengukuhkan peranan MIHAS sebagai platform utama yang menghubungkan perniagaan Malaysia dengan pasaran antarabangsa serta menterjemahkan jalinan perdagangan kepada peluang komersial.

“MIHAS 2026 membuktikan bahawa platform ini tidak hanya berkembang dari segi jualan, malah mencipta peluang yang lebih besar untuk perniagaan Malaysia, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk menembusi pasaran antarabangsa,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Indera Abu Bakar Yusof.

“Kami kekal komited untuk memperkasa PKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier Companies) bagi memperluas pasaran global, terutamanya di pasaran baharu dan bukan tradisional.

“Pencapaian jualan RM6.78 bilion di MIHAS 2026 mencerminkan peluang yang amat bernilai.

Dengan integrasi Agentic AI, MIHAS kini berkembang menjadi ekosistem perdagangan yang lebih terhubung dan berdaya digital, membantu syarikat Malaysia mengenalpasti bakal pembeli, membina hubungan perniagaan yang bermakna, serta meneroka peluang eksport baharu melangkaui ruang pameran,” jelasnya.

“Di bawah Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP), kami akan menyediakan kesalinghubungan berterusan buat pengeksport Malaysia dengan pembeli global dan menyokong mereka dalam meraih peluang eksport yang mampan,” tambahnya.

MIHAS 2026 turut menarik 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada tahun 2025, peningkatan sebanyak 18,764 pengunjung atau 37.3 peratus.

Acara ini turut menghimpunkan pempamer dan pembeli Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dari 58 negara, sekali gus memperkukuh jangkauan antarabangsa serta daya tarikan MIHAS sebagai platform perdagangan halal global.

Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) menjana RM4.02 bilion, berbanding RM3.63 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM394.5 juta atau 10.9 peratus.

INSP menyediakan platform pertemuan perniagaan berstruktur antara penjual Malaysia dan pembeli antarabangsa, sekali gus membuka peluang bersasar dalam bidang sumber bekalan, padanan perniagaan dan potensi transaksi eksport.

Sementara itu, pameran MIHAS merekodkan kira-kira RM1.99 bilion berbanding RM1.89 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM103.9 juta atau 5.5 peratus.

Antara produk utama yang menyumbang kepada jualan pameran ialah makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia, mencerminkan kepelbagaian produk halal yang diketengahkan di MIHAS.

Kejayaan MIHAS turut dapat dilihat melalui sumbangannya yang berterusan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia.

Pada pameran MIHAS 2026, PKS Malaysia menjana RM620 juta dalam jualan, berbanding RM557 juta pada tahun 2025, iaitu peningkatan kira-kira RM63 juta atau 11.3 peratus.

Pertumbuhan ini meneruskan perkembangan kukuh sepanjang enam edisi lalu, dengan penyertaan PKS meningkat daripada 64 syarikat pada 2021 kepada 339 syarikat pada 2026, iaitu peningkatan sebanyak 429.7 peratus.

Prestasi kukuh PKS Malaysia ini turut disokong oleh pertumbuhan sektor eksport halal negara. Eksport halal Malaysia mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus daripada RM61.79 bilion pada 2024.

Di bawah RMK13, Malaysia menyasarkan eksport halal sebanyak RM80 bilion, sekali gus membuka ruang yang besar kepada syarikat Malaysia, khususnya PKS, untuk terus menembusi dan mengembangkan pasaran antarabangsa.

MIHAS 2026 terus menyokong aspirasi ini dengan menyediakan akses kepada pembeli antarabangsa, padanan perniagaan, peluang mendapatkan sumber bekalan serta platform digital bagi membantu PKS memperluas capaian pasaran dan memperkukuh keupayaan eksport mereka.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 324 padanan menghasilkan RM28 juta nilai jualan melalui padanan yang dibantu AI. – Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU