KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, April lalu.
Perintah terbabit dikeluarkan oleh Majistret Ling Hui Chuan selepas pendengaran laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Terdahulu, remaja berusia 17 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika berdua-duaan di dalam bilik tidur mangsa di sebuah rumah di sebuah kampung, Jalan Bako, sekitar 3.48 petang, 29 April lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan ibu mangsa melihat tertuduh berada di dalam bilik tidur anaknya.
Laporan polis dibuat oleh pengadu seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 4 Jun lalu.
Hasil siasatan mendedahkan laporan perubatan mangsa mengalami koyakan baharu pada himen dan lecetan pada kemaluan mangsa.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



