IPOH: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa dekat Tanjong Malim semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul dipercayai hilang ketika menuruni bukit bersama lima rakan serta ahli keluarganya.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.26 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Tanjong Malim digerakkan ke lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan konsep LAST dengan pencarian tertumpu di kawasan mangsa kali terakhir dilihat pada radius 234 meter ketinggian Bukit Changkat Asa.
Menurut Bernama, operasi SAR yang turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Malim Gunung Perhutanan bagaimanapun ditangguhkan pada jam 7 malam tadi.

