ARTIKEL

Tertuduh diiringi keluar dari bilik mahkamah oleh anggota polis selepas prosiding selesai hari ini.

Remaja perempuan mengaku bersalah peras ugut ibu kandung RM18,000 reka cerita diculik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba memeras ugut ibu kandungnya sebanyak RM18,000 dengan mereka cerita kononnya menjadi mangsa penculikan.

Hakim Mahkamah Sesyen Iris Awen Jon menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membenarkan laporan sosial disediakan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3:20 petang, 18 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru dengan menyebabkan ibu kandungnya berada dalam ketakutan akan kematian sekiranya wang tebusan RM18,000 tidak dibayar.

Siasatan mendapati tertuduh dipercayai mereka cerita kononnya dirinya diculik dengan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan profil seorang lelaki sebelum menuntut wang tebusan daripada ibunya.

Ibunya kemudian membuat laporan polis, namun siasatan lanjut mendapati dakwaan penculikan itu sebenarnya direka olehnya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 387 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Semasa mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman, tertuduh yang tidak bekerja dan merupakan pesalah kali pertama memohon mahkamah mengenakan hukuman selain penjara.

Dia memberitahu mahkamah bahawa perbuatannya itu dilakukan kerana memerlukan wang untuk membeli sesuatu buat ibunya.

Bagaimanapun, hakim menolak alasan tersebut sambil mengingatkan tertuduh mengenai pengorbanan ibunya yang telah membesarkan dan menjaganya.

Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid memohon agar laporan sosial disediakan memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda, selain memohon supaya mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian diperintahkan ditahan reman sehingga tarikh sebutan semula kes tersebut.

Kes disiasat oleh Inspektor Awang Iswandi Awang Mahmuddin.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU