SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu semalam atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga merempuh enam kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat dekat sini, 13 Mac lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Boniface Bajai berkata, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret YA Tuan Oon Kork Chern di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Keshava Rao Therma Raja dan kejadian berlaku ketika Andy memandu sebuah Toyota Vios di Jalan Wong Soon Kai.
“Menurut siasatan awal, kenderaan itu dipercayai gagal berhenti sewaktu menghampiri persimpangan lampu isyarat, lalu merempuh enam kenderaan lain yang sedang menunggu giliran untuk melalui persimpangan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, Boniface berkata, semua kenderaan mengalami kerosakan serius di bahagian depan dan belakang.
Beberapa mangsa katanya, mengalami kecederaan ringan dan segera menerima rawatan di lokasi kejadian.
“Pihak polis dan pasukan keselamatan tempatan segera mengawal lalu lintas bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih kritikal.
“Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan selepas kenderaan dipandunya dipercayai merempuh enam kenderaan lain dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Wong Soon Kai di sini.
Boniface Bajai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan tujuh kenderaan itu pada kira-kira 9.55 malam.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam.
“Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun,” katanya.


