KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat susulan berita mengenai kemungkinan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran, yang dijangka memberi impak positif kepada mata wang tempatan, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9755/9815 berbanding dolar AS daripada 3.9770/9805 semasa ditutup pada Khamis. Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit-dolar AS diniagakan dalam julat RM3.95 hingga RM3.97.
“Berita mengenai gencatan senjata selama 60 hari antara AS dengan Iran menyebabkan harga minyak mentah Brent menurun 1.04 peratus kepada AS$93.31 setong. Berita (mengenai gencatan senjata itu) masih belum disahkan tetapi pasaran memberi reaksi positif.
“Ini menunjukkan komuniti pelabur hilang keyakinan terhadap corak rundingan yang tidak stabil itu,” katanya kepada Bernama.
Pada masa yang sama, kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS meningkat kepada 3.8 peratus pada April daripada 3.5 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa harga minyak yang lebih tinggi telah menjejaskan kuasa beli rakyat AS.
Sementara itu, tuntutan awal faedah pengangguran turut naik kepada 215,000 minggu lepas berbanding 210,000 sebelum ini. Ia telah berada pada aliran meningkat sejak 30 April. – Bernama



