ARTIKEL

Julaihi (tengah) melancarkan Pelan Tahunan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2026 sambil disaksikan oleh yang lain.

RM1.05 bilion untuk laksana projek utiliti dan telekomunikasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak RM1.05 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bagi tahun 2026 untuk melaksanakan projek utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, peruntukan tersebut merangkumi pembiayaan di bawah Pembiayaan Alternatif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Justeru, saya menyeru semua agensi melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan dengan segera dan mengikut peruntukan ditetapkan.

“Agensi harus kerap turun padang membuat pemantauan rapi di tapak lapangan supaya tindakan penyelesaian dapat dilakukan segera sekiranya projek tersebut menghadapi masalah.

Julaihi (tengah) membaca Kad Prestasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi 2025 daripada Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Jafri Lias (dua dari kiri), sambil disaksikan dari kiri Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Datuk Liwan Lagang dan Datuk Anderson Tiong.

“Selain itu, harus mengambil tindakan tegas sekiranya prestasi kontraktor tidak memuaskan,” katanya berucap merasmikan Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut optimis pelaksanaan 77 program yang digariskan dalam Pelan Tahunan 2026 mampu dilaksanakan dengan lebih cemerlang berdasarkan rekod pencapaian sebelum ini.

“Pencapaian Pelan Tahunan 2025 adalah sebanyak 99 peratus berbanding 98 peratus pada tahun 2024.

“Pencapaian ini bukan sekadar angka, malah mencerminkan perancangan dan pelaksanaan berkesan serta tahap kerjasama dan sinergi yang baik antara kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Menurutnya, Pelan Tahunan yang diperkenalkan sejak tahun 2023 terbukti berkesan membantu MUT merangka dan melaksanakan pelan tindakan serta inisiatif yang telah dirancang dengan lebih efektif dan efisien.

Menyentuh mengenai pengedaran gas, beliau berkata PETROS telah dilantik sebagai agregator gas tunggal berkuat kuasa 1 Februari 2024 bagi menguruskan perolehan, pembekalan, pengedaran serta penjualan gas asli di Sarawak.

Menurutnya, pelantikan tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh tadbir urus industri gas di Sarawak.

“Pelaksanaan peranan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan bekalan gas dalam menyokong pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negeri, selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU