KAPIT: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pendidikan di kawasan luar bandar menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Semula Sekolah Daif yang dibiayai di bawah peruntukan khas RM1 bilion bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih moden, selamat dan kondusif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembangunan semula sekolah merupakan antara usaha strategik kerajaan negeri bagi memastikan semua murid menikmati akses kepada kemudahan pendidikan yang berkualiti.

“Sekolah yang kita lawat ini adalah sebahagian daripada sekolah yang kita bangunkan.
“Sebenarnya kita telah membayar kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 bilion dan ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM1 bilion untuk kita membangunkan sekolah. Setakat ini sekitar RM300 juta telah digunakan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru di sini, semalam.
Lawatan itu bertujuan meninjau hasil pelaksanaan Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif yang telah siap sepenuhnya pada 2025.
Sepanjang lawatan, Abang Johari diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengenai pelaksanaan projek sebelum meninjau blok akademik, blok pentadbiran serta pelbagai kemudahan baharu yang telah siap dibina.
Beliau turut meluangkan masa berinteraksi bersama warga sekolah dan masyarakat setempat selain meninjau pameran yang memaparkan perkembangan projek termasuk keadaan sekolah sebelum dan selepas pembangunan semula.
Untuk rekod, projek pembangunan semula SK Kampung Baru bernilai RM12.84 juta itu melibatkan pembinaan sebuah blok akademik empat tingkat dan sebuah blok pentadbiran empat tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden.
Antara kemudahan yang disediakan ialah bilik darjah, bilik sains, pusat sumber, pejabat guru, bilik pentadbiran, tandas serta ruang perbincangan bagi mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat kepada 260 murid dan 33 guru, sekali gus menghapuskan status sekolah daif di SK Kampung Baru serta meningkatkan kesejahteraan warga sekolah.
Lawatan kerja itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan luar bandar melalui penyediaan kemudahan pendidikan berkualiti, di samping memastikan setiap anak Sarawak menikmati akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat dan moden.
Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datuk Felicia Tan Ya Hua; Pengarah JKR Sarawak, Datuk Ir. Dr Cassidy Morris; serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.


