MUKAH: Sejumlah RM11,640 menanti pemenang yang berjaya menamatkan larian sehingga tempat ke-10 bagi empat kategori sempena Kaul Mukah Run 2026 pada 26 April ini.

Bagi kategori 10 kilometer (KM) Terbuka Lelaki/Wanita (45 tahun ke bawah), tempat pertama menerima RM600, tempat kedua RM400 dan tempat ketiga RM200.
Pelari di tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM100, manakala tempat keenam hingga ke-10 memperoleh RM80. Habuan sama turut ditawarkan bagi kategori 10KM Senior Lelaki/Wanita (45 tahun ke atas).
Bagi kategori 5KM Terbuka Lelaki/Wanita (45 tahun ke bawah) dan 5KM Senior Lelaki/Wanita (45 tahun ke atas), hadiah wang tunai RM300 diberikan kepada pemenang tempat pertama, RM200 bagi tempat kedua dan RM100 bagi tempat ketiga.
Tempat keempat dan kelima menerima RM80, manakala pelari yang menamatkan larian di tempat keenam hingga ke-10 memperoleh RM70.
Menurut Jawatankuasa Promosi, James Anthony, bagi kategori 3KM Jalan Santai, peserta yang telah mendaftar digalakkan memperagakan busana tradisional masing-masing.
“Hadiah wang tunai akan diberikan kepada peserta yang berjaya menarik perhatian juri di sepanjang laluan Jalan Santai tersebut,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pegawai seranta, Jacq (011-19918491) atau Ahmad (013-8184030).


