KUCHING: Sejumlah RM15.8 bilion dicadang untuk meningkatkan perbelanjaan operasi dan pembangunan dalam Bajet Sarawak 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM2.2 bilion atau 16 peratus daripada RM13.6 bilion pada 2024.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata belanjawan itu bagi meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi wilayah ini.
“Secara ringkasnya, Bajet 2025 dirangka merentasi lapan teras strategik seperti mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak, meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama serta mempromosikan pembangunan PKS termasuk memantapkan bakat dan pendidikan pembangunan.
“Selain itu mempercepatkan transformasi digital dan inovasi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan inklusif, mempromosikan kebudayaan, sukan dan pemerkasaan belia, meningkatkan kelestarian alam sekitar serta memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan kapasiti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata belanjawan bertemakan Bersama Membina Masa Depan Sejahtera itu direka untuk inklusif dan Sarawak yang makmur, dengan setiap rakyat mempunyai kesaksamaan akses kepada peluang dan sumber untuk berkembang maju.
Katanya belanjawan itu telah dinilai dengan teliti dan dirumus untuk memastikan Sarawak kekal berdaya tahan, berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Membina pencapaian masa lalu dan dengan asas yang kukuh, kami sudah bersedia untuk mengharungi cabaran masa depan, menjaga kesejahteraan rakyat dan membawa kemakmuran kepada semua.
“Pada terasnya, Belanjawan Sarawak 2025 memperbaharui dan mengesahkan komitmen kami untuk memperjuangkan kebajikan rakyat melalui langkah-langkah yang disasarkan untuk mengurangkan bebanan kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta terus melaksanakan program dan projek penting yang berpaksikan rakyat,” katanya.


