ARTIKEL

RM150 Juta Diluluskan Untuk Baiki Baraj Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi kerja membaik pulih segera struktur baraj di Kuching yang dilaporkan mengalami kerosakan akibat hakisan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyambut baik pengumuman tersebut yang disifatkan sebagai langkah kritikal bagi menjamin keselamatan penduduk di sekitar ibu negeri Sarawak daripada risiko banjir.

“Peruntukan itu adalah hasil taklimat terperinci mengenai keadaan semasa infrastruktur di Sarawak.

“Bagi pihak PETRA dan juga ahli parlimen serta penduduk Kuching khususnya, saya mengucapkan terima kasih atas kelulusan RM150 juta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2026, hari ini.

Beliau menambah, permohonan itu dibuat susulan kajian kerajaan negeri yang mendapati integriti struktur baraj tersebut terjejas akibat hakisan yang berlaku di bahagian hulu dan hilir sungai.

“Cuma kajian negeri kena bagi secepat mungkin untuk kita angkatkan kepada Kementerian Ekonomi dan juga kepada Kabinet bagi membolehkan pelaksanaan projek ini dijalankan dengan kadar segera,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya sempat berseloroh mengenai kegigihan Fadillah yang sering membangkitkan isu pembangunan Sarawak dalam setiap mesyuarat, termasuk keperluan mendesak untuk membaiki baraj berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan segera berjumlah RM150 juta bagi membaik pulih struktur baraj di Kuching yang dilaporkan mengalami kerosakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa berbincang dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan projek yang tertangguh di peringkat Persekutuan dapat diselesaikan dengan segera.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU