ARTIKEL

Prof Dr Novel Lyndon

RM16.2 bilion untuk Sarawak belum tentu penuhi semua keperluan – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keluasan geografi Sarawak, taburan penempatan penduduk yang berselerak serta kos penyediaan infrastruktur perlu menjadi pertimbangan utama dalam menentukan kecukupan peruntukan Persekutuan bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri itu.

Penganalisis sosiologi politik, Profesor Dr Novel Lyndon berkata, peningkatan peruntukan kepada RM16.2 bilion dalam Belanjawan 2027 merupakan perkembangan positif, namun kecukupannya perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar Sarawak, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas di kawasan pedalaman.

“Peningkatan sebanyak RM1.1 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun ini tidak semestinya bermakna semua keperluan pembangunan negeri itu dapat dipenuhi.

“Penilaian terhadap kecukupan peruntukan perlu mengambil kira kos pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur, terutama di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran geografi serta kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan asas,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2027.

Tambah beliau, antara keperluan yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya, penyediaan bekalan air bersih dan elektrik serta penambahbaikan kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, selain jumlah peruntukan, keberkesanan pelaksanaannya juga perlu dinilai berdasarkan jumlah dana yang benar-benar dibelanjakan dan keupayaan menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, peruntukan yang besar tidak semestinya menghasilkan pembangunan yang berkesan sekiranya projek mengalami kelewatan atau kemudahan yang disediakan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.

“Keberkesanan peruntukan akhirnya perlu diukur berdasarkan manfaat yang diterima rakyat, termasuk peningkatan akses kepada kemudahan asas dan pengurangan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan pedalaman.

“Persoalan paling penting ialah berapa banyak masalah rakyat berjaya diselesaikan melalui peruntukan tersebut.

“Jika jumlah peruntukan meningkat tetapi jurang pembangunan masih berterusan, kecukupan dana dan cara wang itu digunakan perlu dinilai semula,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU